SESB perlu jana sendiri keperluan beban asas elektrik di Sabah sebelum beralih kepada tenaga boleh diperbaharui – Madius

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menjana sendiri sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keperluan beban asas (baseload) tenaga di Sabah sebelum membincangkan secara serius peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, keperluan beban asas di Sabah adalah sebanyak 1,080MW tetapi kapasiti penghasilan tenaga semasa hanya mampu menghasilkan 1,200MW dengan marjin rizab yang kurang daripada 12 peratus.

Katanya ini boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam bekalan tenaga, terutamanya semasa menghadapi cabaran teknikal.

“Justeru, keutamaan kita haruslah menyelesaikan isu berkaitan gangguan bekalan kuasa. Untuk mencapai matlamat ini, SESB perlu memiliki sekurang-kurangnya 70 peratus daripada kapasiti penjanaan kuasa beban asas (iaitu kira-kira 700MW) dan menjalankannya secara autonomi. Ini diperlukan kerana kita perlu memastikan kawalan penuh ke atas bekalan kuasa tersebut.

“Pada masa kini, SESB hanya menjana dan memiliki 20 peratus daripada bekalan tenaga ini, manakala selebihnya dibeli daripada pengeluar kuasa bebas (IPP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Madius menjelaskan, beban asas ialah tahap bekalan tenaga minimum untuk memenuhi permintaan bekalan elektrik secara konsisten dalam tempoh 24 jam.

Ujar beliau, hanya apabila penjanaan beban asas stabil, barulah Sabah dapat bersedia untuk memulakan penerokaan tenaga boleh diperbaharui.

Ahli Parlimen Tuaran itu memberitahu, memandangkan 80 peratus bekalan kuasa di Sabah dihasilkan oleh IPP menyebabkan SESB terikat dalam pelbagai isu berkaitan penjanaan kuasa di negeri ini.

“Sebagai contoh, apabila sesebuah IPP mengambil keputusan secara tiba-tiba untuk menjalankan penyelenggaraan berkala, kita menghadapi keterbatasan dalam membekalkan tenaga elektrik termasuk baseload menyebabkan catuan (load shedding) bekalan terpaksa dilaksanakan.

“Ini sekali gus menjadi faktor kepada gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku di Sabah ini,” kata Madius.