KOTA KINABALU: Seramai 474 Pegawai Perubatan Kontrak yang baru dilantik ke jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan Gred UD43 melapor diri di negeri ini sejak akhir bulan lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna berkata daripada jumlah itu, seramai 339 pegawai perubatan melapor diri di hospital, manakala baki 135 pegawai lagi melapor diri di klinik kesihatan.
Katanya pada masa yang sama seramai 103 pegawai perubatan yang bertugas di Sabah berpindah keluar untuk melapor diri di negeri lain.
“Jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang berkhidmat di negeri ini adalah seramai 1,986 pegawai dengan pertambahan seramai 371 pegawai.
“JKNS berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atas komitmen dan keprihatinan menambah bilangan pegawai perubatan selaras keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata selaras dengan pertambahan itu, JKNS berharap perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di Sabah akan bertambah baik dan dapat diperluaskan lagi.
“Jabatan juga ingin mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan kepada semua pegawai perubatan yang komited dan dedikasi dalam memberi perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Semoga kita semua bergerak ke hadapan bersama untuk mencapai matlamat dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini,” kata Asits.