TAWAU : Polis merampas selaras senapang angin daripada seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di sekitar kampung Sungai Melayu, Pulau Sebatik Tawau, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berumur 54 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 4.30 petang hasil maklumat dan risikan.
Katanya, ketika serbuan suspek berada di dalam rumah tersebut dan hasil soal siasat awal, suspek telah menyerahkan selaras senapang angin yang di gantung di belakang pintu bilik tidur berserta sebilah pedang bersarung dan sebatang lastik beserta 20 batang busur anak panah.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Sementara itu, polis turut memeriksa seorang wanita warga asing berumur 30 tahun dipercayai isteri kepada suspek di dalam rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Jasmin berkata, pemeriksaan itu kemudiannya membawa kepada penemuan sebuah beg pinggang berisi 221 paket plastik lutsinar berlainan saiz.
“Ini termasuk berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 64.81 gram yang dianggarkan berjumlah RM6500.00.
“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas Jasmin.
Menurutnya, Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan lagi usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa melalui operasi yang lebih agresif melibatkan pelbagai bahagian dan cawangan termasuk Balai-balai Polis berhampiran.