KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) mengetuai usaha membangunkan kawasan sempadan Malaysia – Indonesia.
Khususnya pembinaan fasiliti jalan raya antara Serudong Kalabakan dengan Simanggaris di Indonesia sejajar hasrat Kerajaan Persekutuan membina jalan di sempadan ke Kalimantan.
Menteri Kewangan itu berkata Kerajaan Persekutuan juga sudah memaklumkan kelulusan projek bernilai RM600 juta meliputi pembangunan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di pintu masuk Serudong – Simanggaris.
“Perkara ini (kelulusan projek) disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mustapha Mohamed melalui perbincangan sidang video yang diadakan pada awal bulan ini.
“Kita mesti melakukan segala hal yang perlu dan mengambil tindakan sesuai untuk memanfaatkan keputusan Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SEDIA di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata SEDIA mempunyai tanggungjawab penting kerana berperanan dalam memastikan projek dirancang Kerajaan Persekutuan dapat direalisasikan.
“Kita mahu SEDIA terus memainkan peranan aktif dalam perancangan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi serta menarik lebih banyak pelaburan masuk ke negeri ini,” katanya.
Menyentuh hal berasingan, Hajiji berharap ahli lembaga SEDIA meneliti dan memberi maklum balas berhubung Kajian Strategik Pelan Pembangunan Koridor Sabah (SDC) 2.0.
Pada masa sama, beliau juga memberi perhatian terhadap cadangan pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) sebelum penyerahannya kepada Jabatan Perdana Menteri.
“Pembangunan pengembangan SBCP kita lihat penting kerana boleh menjadi ‘pengubah permainan’ (game changer) untuk perdagangan dan perniagaan di rantau ini,” katanya.
Turut dibincangkan, keputusan Sawit Kinabalu Farm Product Sdn Bhd mendirikan Premium Kinabalu Beef dan kilang pengeluaran sarang burung di Kawasan Pertanian Industri Sabah (SAIP) di Kimanis.
Hajiji berkata anak syarikat Sawit Kinabalu itu akan membuat pelaburan bernilai RM4 juta di SAIP yang diharapkan dapat mencipta 500 peluang pekerjaan selain peluang ekonomi.
Terdahulu, beliau mengalu-alukan dua Ahli Lembaga Pengarah SEDIA yang baharu, Peguam Negara Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip.
Hadir sama pada mesyuarat itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sr Safar Untong.
SabahNewsToday