SEC, ASB sumbang RM200,000 bantu mangsa kebakaran Sandakan

SANDAKAN : Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) bersama anak syarikat milik penuhnya, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), menyumbang RM200,000 kepada Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia di sini.

Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Pengerusi SEC, Datuk Hassan A Gani Pg Amir dan diiringi Pengerusi ASB merangkap Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr Haji Suhaili Abdul Rahman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama beberapa pemimpin negeri dan persekutuan.

SEC memaklumkan sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri, pihaknya bukan sahaja memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi negeri, malah turut komited membantu kebajikan rakyat yang terjejas akibat bencana.