Sebuah loji penapisan minyak dan gas perlu diwujudkan di Kota Belud – Charles

KOTA BELUD: Daerah Kota Belud dilihat berpotensi besar dibangunkan sebuah ‘Loji Penapisan Petroleum’ terbaharu di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN), Charles Ebbie berkata, ketika ini terdapat beberapa kawasan pelantar minyak di perairan Kota Belud namun tidak mempunyai loji penapisan minyak dan gas.

Katanya, langkah ini sangat bertepatan berikutan ia akan memberikan ruang pekerjaan kepada penduduk tempatan sekali gus mengurangkan isu kemiskinan di daerah ini.

“Ketika ini Kota Belud hanya terkenal sebagai pengeluar minyak dan gas namun hasil ini di hantar ke tempat lain untuk tujuan proses selanjutnya.

“Alangkah baiknya jika diwujudkan sebuah loji penapisan di Kota Belud agar dapat memberi ruang serta peluang pekerja kepada anak tempatan untuk terlibat sama dalam sektor minyak dan gas di sini,” katanya kepada Sabahnewstoday hari ini.

Charles berkata, setakat ini penduduk di daerah Kota Belud hanya bertindak sebagai pemerhati kepada pendaratan hasil petroleum serta gas sebelum diproses ke kawasan lain.

“Kali ini kita cadangkan agar Kota Belud sendiri mewujudkan kalangan tenaga pakar dalam kalangan penduduk tempatan sekali gus mampu mengeluarkan status daerah miskin di negeri ini,” katanya.

Charles berkata, setakat ini Kota Belud hanya bergantung penuh kepada sektor pertanian termasuk ‘Jelapang Padi’ serta getah termasuk beberapa pembangunan industri hiliran.

“Sektor pelancongan dilihat sebagai peneraju utama di Kota Belud selain terdapat pemandangan indah untuk tarikan pelancong iaitu Gunung Kinabalu dan Pulau Mantanani.

“Persisiran Pantai yang sangat cantik serta begitu sesuai untuk dibangunkan sektor perhotelan sekali gus memberi ruang kepada anak tempatan memperoleh peluang pekerjaan,” katanya.