KOTA KINABALU: Cadangan menaiktaraf prasarana kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak, Sabah sudah disuarakan sejak peringkat awal mengadakan lawatan ke Kalimantan, Indonesia beberapa tahun lalu.
Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, cadangan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini sangat bersesuaian serta dilihat mampu memperkasakan lagi hubungan diantara negara ini dengan Indonesia.
“Pada peringkat awal lagi kita sudah menyatakan keperluan CIQS di kawasan daerah Tawau memandangkan jaraknya terlalu dekat dengan Kalimantan Utara serta ibu kota baharu Indonesia nanti.
“Perkara itu kita pernah dilakukan dahulu ketika dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) lalu. Usaha ini sangat baik,” katanya hari ini.
Shafie berkata, cadangan ini dilaksanakan secepat mungkin kerana mampu memperkasakan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara.
“Kerjasama ini perlu dilakukan dengan Indonesia contohnya dalam bidang perladangan berikutan negara ini (Malaysia) lebih ramai memerlukan tenaga buruh. Perkara ini sangat serius serta perlu diperincikan segera, malah bukan sahaja untuk CIQS,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan meningkatkan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.