Saya tinggalkan parti KDM ingin bersama kepimpinan GRS dalam Parlimen Beaufort – Johair Matlani

KOTA KINABALU: Datuk Johair Matlani menyatakan beliau meninggalkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kerana ingin bersama dengan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Kuala Penyu dalam Parlimen Beaufort.

“Saya ada nyatakan dalam ucapan dan pengumuman saya ketika majlis itu berlangsung pada 7 Januari lepas bahawa saya memohon maaf dan mendoakan kesejahteraan dan kecemerlangan dalam mengemudi parti kepada Datuk Presiden (Datuk Peter Anthony) dan rakan-rakan dalam pimpinan tertinggi dan seluruh keluarga besar parti KDM.

“Untuk rekod selama saya bersama parti KDM saya tidak pernah tidak setuju kepada keputusan parti saya ketika itu.

“Sebagai rakan dalam politik juga saya tidak ada masalah dengan rakan-rakan daripada parti yang lain terutama di Beaufort. Kami masih sebagai satu keluarga, apa pun majlis di kawasan kami tetap bersama dan saling menjaga silaturrahim,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan media bahawa keputusan dibuat kerana terkilan parti KDM bekerjasama UMNO – Parti Warisan.

Beliau yang merupakan Naib Presiden parti KDM baru-baru ini mengumumkan meninggalkan parti tersebut.

Johair berkata beliau melihat fahaman politik boleh berbeza kerana ianya adalah hak individu.

“Saya juga tetap menghormati kepimpinan Presiden UMNO dan parti Warisan sebagai sahabat lama.

“Saya juga ada menghubungi sahabat saya, Ketua Bahagian UMNO Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat) untuk memohon maaf apabila terbaca siaran tersebut,” jelasnya.

Beliau menyatakan terima kasih kepada Datuk Presiden parti KDM yang sentiasa merupakan sahabat yang terbaik bagi saya sampai saat ini dan mendoakan agar beliau terus cemerlang dalam mengemudi parti.