Kerja kawalan sementara dilaksanakan baiki jalan rosak di Batu 24 Jalan Sandakan – Beluran

SANDAKAN : Kerja-kerja kawalan sementara bagi mengatasi kerosakan jalan raya di Batu 34, Jalan Sandakan – Beluran telah siap dilakukan petang tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata kerosakan jalan raya di kawasan itu berlaku susulan daripada hujan berterusan sepanjang beberapa minggu yang telah menyebabkan air melimpah ke permukaan jalan.

Katanya, kumpulan penyelenggaraan (PKM) telah bertindak mengorek parit sementara di sebelah kiri jalan, bagaimanapun limpahan air dari parit sementara tidak dapat menampungnya.

Menurut beliau, ia sekaligus menyebabkan air bertakung di permukaan jalan dan mengakibatkan jalan di kawasan itu berlubang.

“Untuk tindakan selanjutnya, kumpulan ini melebarkan lagi parit tersebut dengan segera dan menabur batu pada jalan yang berlubang untuk memperbaiki jalan tersebut.

“Susulan itu, bahagian sebelah jalan terpaksa ditutup untuk membolehkan kerja-kerja melebarkan parit dan menabur batu dilakukan. Kerja- kerja ini selesai pada pukul 6.35 petang dan pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, pengguna merungut susulan jalan berhampiran simpang Beluran itu dikatakan rosak dan berlubang teruk hingga menyebabkan aliran trafik mengalami kesesakan luar biasa.

Pengguna memberitahu laluan itu kebiasaannya hanya memerlukan masa perjalanan tidak sampai setengah jam, bagaimanapun mereka terperangkap hingga berjam-jam lamanya susulan hanya sebelah laluan sahaja dibuka.

Shahelmey berkata, tindakan kawalan sementara yang diambil termasuk pasukan penyelenggaraan akan mengawal jalan, bantuan daripada ‘flagman serta pemantauan dari beberapa pihak berkaitan seperti SSS, SHO, EO, Jurutera Utiliti, Jurutera Tapak, Pengurus Tapak.