Polis Tenom tahan tiga lelaki, seorang wanita terlibat dadah dalam serbuan di bilik hotel

TENOM : Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas sejumlah dadah dalam satu serbuan di sebuah hotel di pekan Tenom, semalam.

Ketua Polis Daerah Tenom DSP Hasan Majid berkata serbuan dilakukan pada jam 1 pagi itu oleh Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tenom selepas menerima maklumat berkenaan aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah bilik hotel di Pekan Tenom.

Katanya semasa serbuan yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Naroktik IPD Tenom Insp Zulfian Velentino Silverius ke bilik berkenaan, ketiga-tiga suspek telah cuba untuk melarikan diri, namun berjaya diberkas.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tersebut telah menjumpai sejumlah dadah disyaki jenis syabu berserta alat-alat disyaki digunakan untuk menghisap dadah.

“Dalam satu serbuan bilik berasingan di hotel berkenaan, polis telah menahan seorang wanita dalam keadaan khayal dan disyaki terlibat dalam kumpulan yang sama,” katanya.

Menurutnya kesemua suspek telah ditahan dan dibawa ke IPD Tenom untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata kesemua tangkapan adalah warga tempatan yang bukan berasal dari daerah ini.

Hasan berkata polis tidak akan berkompromi kepada sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah ini melalui talian (087-736211).