SANDAKAN : Pengguna jalan raya semakin muak dengan isu jalan rosak di daerah ini yang tidak pernah berkesudahan.
Selain menjejaskan kenderaan, pengguna juga perlu menghabiskan masa yang panjang akibat kesesakan lalu lintas yang berlaku di kawasan terbabit.
Terbaharu, jalan yang rosak teruk di Batu 34, Jalan Sandakan – Beluran telah menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa sejak beberapa hari lalu.
Seorang pengguna, Calvin CK berkata, keadaan cuaca hujan memburukkan lagi situasi kerana terdapat jalan raya di kawasan yang rendah telah dinaiki air.
“Dengan permukaan jalan raya yang berlubang dan dinaiki air hujan, penglihatan pemandu memang sangat terhad. Mahu tidak mahu memang terpaksa memandu secara perlahan-lahan.
“Situasi ini yang menyebabkan pergerakaan kenderaan menjadi perlahan dan akhirnya semua terperangkap dalam kesesakan. Kebiasaannya dari simpang Beluran ke Batu 32 tidak sampai setengah jam, sekarang mahu ambil masa sampai berjam-jam,” katanya.
Beliau berharap isu jalan rosak di kawasan tersebut dapat diatasi dengan segera bagi kemudahan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, isu jalan rosak bukanlah sesuatu yang baharu lebih-lebih lagi di Sandakan, tetapi masalah itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan daripada pihak berwajib.
“Sampai bila kami mahu menggunakan jalan raya yang tidak berkualiti. Tampal dan baiki hari ini, esok sudah berlubang semula. Sudah masuk tahun 2024, tetapi kualiti jalan raya di Sandakan masih jauh ketinggalan.
“Kenapa kawasan bandar lain di Sabah boleh ada dua dan tiga lorong, tetapi kenapa satu-satunya jalan utama yang menghubungkan Sandakan dengan Beluran dan Telupid masih satu lorong.
“Ini baharu cerita pasal kualiti jalan raya, belum masuk lagi soal isu tiada lampu jalan di sepanjang laluan itu,” luahnya.