“Saya Tidak Gentar, Demi Rakyat Sabah!” – Nizam Titingan Jawab Tuntutan Undang-undang

KOTA KINABALU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan beliau menolak sepenuhnya surat tuntutan undang-undang yang dikemukakan oleh Albert Tei melalui peguamnya baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataannya sebelum ini dibuat atas dasar kepentingan awam, berasaskan fakta yang benar serta dalam ruang keistimewaan sewajarnya.

“Saya tidak akan berundur. Saya hanya menyuarakan perkara yang penting untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, segala fakta yang menjadi asas kepada kenyataannya adalah rekod awam, termasuk kes mahkamah membabitkan individu tersebut.

Antara lain, individu berkenaan telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 kerana menawarkan rasuah.

Selain itu, individu sama turut disaman oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd atas tuduhan penipuan dan konspirasi untuk mencederakan pihak lain.

Malah, dakwaan dirinya sebagai “pemberi maklumat” turut dinafikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan beliau sebenarnya terlibat dalam kesalahan tersebut.

“Dalam tindakan fitnah, seseorang perlu ada reputasi untuk dilindungi. Dengan pertuduhan dan pengakuan di mahkamah yang sedia ada, saya yakin dakwaan kerosakan reputasi itu tidak berasas,” tegasnya lagi.

Nizam berkata, beliau kekal komited mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri Sabah daripada mana-mana individu yang cuba menjejaskan kerajaan negeri serta agensinya.

Beliau turut mengarahkan peguamnya untuk mempertahankan diri sepenuhnya dan memfailkan tuntutan balas sekiranya tindakan undang-undang diteruskan.