PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyifatkan kejayaan kontraktor menyiapkan Projek Jambatan Timpangoh-Babagon tujuh bulan lebih awal daripada jadual asal sebagai pencapaian luar biasa yang wajar dijadikan tanda aras baharu bagi pelaksanaan projek infrastruktur di Sabah.
Ewon merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, projek bernilai RM16.7 juta itu mula dilaksanakan pada Julai 2024 dan dijadual siap Julai 2026, namun kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun ini.
“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bahawa projek ini siap tujuh bulan lebih awal.
“Ini satu pencapaian cemerlang dan harus dijadikan contoh kepada kontraktor lain dalam melaksanakan projek fizikal seperti jambatan, bangunan atau jalan raya,” katanya di sini hari ini.
Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas penyaluran peruntukan, selain berterima kasih kepada JKR Sabah, Majlis Perbandaran Penampang dan kontraktor atas komitmen tinggi serta penyelarasan kerja yang efektif.
Beliau berkata, projek yang bakal memberi manfaat kepada lebih 6,000 penduduk itu membuktikan bahawa dengan perancangan yang teliti, penyeliaan berkesan dan kerjasama semua pihak, projek kerajaan boleh disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan.
“Pencapaian ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah mempercepat manfaat kepada rakyat.
“Ia harus menjadi motivasi serta penanda aras baharu kepada semua kontraktor di Sabah untuk menyiapkan projek dengan kualiti terbaik dan menepati masa,” tegasnya.
