KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyasarkan mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di negeri ini menerima vaksinasi menjelang bulan Oktober ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, ini sudah tentunya akan membolehkan lebih banyak sektor perniagaan serta perkhidmatan di buka semula termasuk pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.
Katanya, pihaknya mengulangi gesaannya agar Kerajaan Persekutuan mempercepatkan bekalan 600,000 dos vaksin pada bulan ini dan 1.2 juta dos pada bulan depan ke Sabah.
“Kami mahu mengekalkan momentum untuk memastikan penduduk mendapat vaksin secepat mungkin,” katanya dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Matta, Datuk K.L Tan.
Mengenai cadangan MATTA untuk menghidupkan semua industri pelancongan pasca Covid-19, Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan industri pelancongan di Sabah akan berjaya melalui pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif.
Katanya, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan memperuntukkan RM2.88 juta menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk diagihkan kepada pemandu pelancong, penyelam, malim gunung, porter, pengusaha hotel dan pengendali inap desa yang terjejas akibat pandemik itu.
Ketua Menteri berkata dia juga akan bertemu dengan malim gunung untuk memberikan bantuan kepada mereka dan untuk menyaksikan pengendalian program vaksinasi pelancongan di Kundasang.