PITAS (Bernama): Program Vaksinasi Bergerak diharap akan dapat diperluas ke kawasan terpencil di Sabah khususnya Pitas bagi memastikan semua penduduk menerima suntikan vaksin sekali gus membantu usaha menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri itu.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Harun Durabi berkata langkah itu juga dilihat akan dapat memudahkan akses kepada penduduk di kawasan terpencil untuk menerima suntikan vaksin berikutan tempat tinggal yang jauh dari pusat pemberian vaksin terdekat.
Dengan memberi contoh, Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka berkata, terdapat 114 kampung dalam kawasan berkenaan yang jaraknya melebihi 10 kilometer dari pekan dengan keadaan jalan raya yang tidak rata kerana sebahagiannya masih tidak berturap dan jalan tanah merah.
“Saya sedang berbincang dengan pihak berkaitan supaya program vaksinasi ini dapat diadakan di kawasan terpencil untuk menjangkau penduduk di situ yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin terdekat,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui selepas meninjau pelaksaaan Program Vaksinasi Bergerak bagi Mukim Mapan-Mapan di Dewan Serbaguna Kampung Bongkol, kira-kira 23 kilometer dari pekan daerah itu, semalam.
Pitas adalah sebuah daerah terletak di utara Sabah, kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu dengan populasi penduduk kira-kira 42,000 orang yang rata-ratanya bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan sebagai sumber rezeki utama.
Program Vaksinasi Bergerak di daerah itu diadakan di empat mukim, dengan dua daripadanya dalam DUN Bengkoka iaitu Mukim Pantai dan Mukim Mapan-mapan, manakala dua lagi dalam DUN Pitas iaitu Mukim Pinggan-pinggan dan Mukim Telaga.
Harun berkata sambutan penduduk kampung amat membanggakan dan di luar jangkaan apabila ramai yang hadir bagi mendaftar sebagai penerima vaksin meskipun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke program tersebut.
Justeru, beliau berharap bekalan vaksin untuk daerah itu mencukupi berikutan maklum balas yang baik daripada masyarakat kampung yang sudah bersedia dan tidak lagi menolak untuk menerima vaksin.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pitas Bakri Nanan berkata program vaksinasi akan diadakan secara berterusan sehingga penghujung tahun ini bagi meningkatkan jumlah penerima vaksin di daerah itu sehingga 21,000 orang.
Katanya, jumlah penduduk mendaftar sebagai penerima vaksin juga meningkat, dan jadual pemberian vaksin telah disusun atur bagi mencapai sasaran itu.
SabahNewsToday