SANDAKAN : Sambutan Hari Krismas boleh dikembang dan dipelbagaikan bukan sekadar untuk meraikan perayaan itu, tetapi juga sebagai produk yang boleh menarik kehadiran pelancong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, persembahan pentas oleh gereja-gereja amat menarik kerana ia diselitkan dengan kepelbagaian tradisi etnik yang terdapat di negeri ini.
“Sambutan Krismas di negeri ini termasuk Sandakan memang ada kelainannya yang tersendiri. Ia bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi juga diselitkan dengan seni muzik, seni nyanyian dan seni tari berdasarkan kepelbagaian etnik tempatan.
“Saya melihat ini boleh menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan tempatan. Ini pastinya memberi satu pengalaman berbeza khusus buat pengunjung asing,” katanya pada Sambutan Perayaan Krismas Sandakan di Padang Bandaran di sini semalam.
Sambutan kali ke-sepuluh itu merupakan anjuran bersama Sandakan Inter Church (SIC), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Pejabat DUN Tanjong Papat.
Ia diisi dengan persembahan koir, ukulele, drama, nyanyian dan tarian.
Frankie berkata, walaupun ia merupakan perayaan keagamaan, namun terdapat nilai-nilai murni yang boleh diambil dalam memantapkan kehidupan harian dan perpaduan tanpa mengira warna kulit, etnik, bangsa mahupun agama.
Jelasnya, ia sekaligus sesuai dengan konsep ”Unity in Diversity” atau “Kesatuan dalam Kepelbagaian”.
“Justeru itu, kita harus menghargai kepentingan perayaan seperti ini dan memanfaatkannya untuk mengukuhkan lagi semangat muhibbah dan harmoni serta diterjemahkan melalui semangat Malaysia Madani,” kata Frankie.