Saksi belot: Pendakwa kes rasuah Bung Moktar mohon soal balas perunding unit amanah

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, memohon untuk menyoal balas saksinya yang dianggap belot kerana memberikan keterangan bercanggah di mahkamah dengan rakaman percakapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan itu dikemukakan Timbalan

Pendakwa Raya, Law Chin How, ketika menyoal saksi pendakwaan ke-25, iaitu Perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, pada sesi pemeriksaan utama hari ini.

Chin How berkata, pihaknya mendapati wujud percanggahan yang material di antara keterangan diberikan saksi itu di mahkamah dengan rakaman percakapan yang diberikannya kepada SPRM sebelum ini ketika siasatan kes.

“Pihak kami mendapat arahan dari atasan untuk mengemukakan permohonan bagi menyoal balas saksi mengikut Seksyen 154, Akta Keterangan 1950,” katanya dilaporkan Berita Harian hari ini.

Pada 27 Januari lalu, Norhaili dalam keterangannya memberitahu Mahkamah Sesyen, bahawa isteri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta kerana pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Norhaili berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette itu adalah strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan FELCRA untuk membuat pelaburan sama.

Sementara itu, Chin How turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyerahkan rakaman percakapan saksi berkenaan kepada pihak pembelaan pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk K Kumaraendran, yang mengesahkan sudah menerima rakaman percakapan terbabit, membantah permohonan pendakwaan berikutan ia tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkan 24 Februari ini bagi mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.

Rozina juga mengingatkan saksi itu supaya tidak berkomunikasi atau berbincang dengan mana-mana pihak, termasuk pasukan pembelaan, tertuduh dan pegawai penyiasat kes.

Terdahulu, Norhaili ketika menyambung keterangannya pada sesi soal balas, mengesahkan menurunkan tanda tangannya pada rakaman percakapan itu di hadapan pegawai SPRM.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.