Sahabat AIM perlu kreatif teroka teknik perniagaan secara atas talian

TELUPID: Peminjam atau Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu lebih kreatif meneroka teknik perniagaan secara atas talian bagi membolehkan produk mereka dipasarkan dengan lebih meluas.

Ahli Lembaga Pengarah AIM, Mohina Sidom, berkata Sahabat AIM perlu menggunakan peluang yang ada sebaiknya menerusi kewujudan pelbagai media sosial ke arah memajukan perniagaan mereka.

Sahabat AIM perlu kreatif teroka teknik perniagaan secara atas talian.

Katanya, kecanggihan teknologi pada masa kini menjadikan perniagaan lebih mudah tanpa menggunakan kos pemasaran yang tinggi berbanding kaedah konvensional yang memerlukan lebih banyak tenaga, masa dan wang.

“Zaman sekarang yang mana kaedah perniagaan secara konvensional kurang digunakan memerlukan kita menjadi lebih kreatif dan berani meneroka teknik perniagaan yang baharu.

“AIM semestinya sudah merangka dan akan merancang lebih banyak program seperti latihan keusahawanan untuk membantu Sahabat AIM,” katanya ketika merasmikan Malam Anugerah AIM Cawangan Telupid di Dewan Institut Perhutanan Sabah, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengurus AIM Wilayah Sabah Maljada Tang dan Pengurus AIM Telupid Samsudin Lidan.

Program anjuran Kelab Usahawan AIM Telupid yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan dan menghargai Sahabat AIM dihadiri kira-kira 350 Sahabat AIM dari sekitar Telupid dan Tongod.

Mohina yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menasihatkan Sahabat AIM di negeri ini agar lebih berdisiplin untuk membayar balik pinjaman mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, sejak skim itu diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, AIM telah membantu ramai golongan sasar dengan menyediakan pembiayaan modal perniagaan untuk menjana pendapatan isi rumah, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Tunggakan pinjaman tidak berlaku jika semua Sahabat memiliki budaya disiplin yang tinggi untuk membayar balik pinjaman.

“Sebagai organisasi penyedia pinjaman mikro kredit, setiap tahun AIM menyediakan dana yang tinggi untuk membantu Sahabat AIM yang sebahagian besar adalah wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan berpendapatan secara harian,” katanya.

Mohina turut menyeru wanita agar menjauhi peminjam wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’, sebaliknya memanfaatkan saluran yang sah seperti AIM jika berdepan masalah kewangan.