KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah dalam ketrampilan penyelidikan apabila beberapa penyelidik unggul dari universiti tersebut tersenarai oleh Elsevier dalam Top 2 Percent Scientists Worldwide (2 Peratus Saintis Terbaik Seluruh Dunia) bagi tahun 2023.
Bagi kategori Career Achievement (Pencapaian Kerjaya), tiga penyelidik UMS yang tersenarai adalah Prof Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Prof Dr. Jason Teo Tze Wi dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Prof Madya Dr. Christopher Patrice Andie Wiart dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP).
Manakala, bagi kategori Single Year Achievement (Pencapaian Setahun), seramai lapan penyelidik UMS mendapat pengiktirafan tersebut.
Antaranya adalah Prof Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly (Fakulti Kejuruteraan), Prof Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria (FPSK), Prof Dr. Jason Teo Tze Wi (FKI), Prof Madya Dr. Hanudin Amin (Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan), Prof Madya Dr. Christopher Patrice Andie Wiart (IBTP).
Turut tersenarai dalam kategori yang sama ialah Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddique (Institut Penyelidikan Bioteknologi), Prof Dr. Md Lutfor Rahman dan Dr. Teo Siow Hwa masing-masing dari Fakulti Sains dan Sumber Alam.
UMS menerusi satu kenyataan menyatakan pencapaian membanggakan penyelidik-penyelidik UMS ini dapat dirungkai melalui impak yang terhasil dalam penyelidikan yang bermanfaat bukan sahaja kepada universiti, tetapi juga kepada masyarakat.
Rosalam yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS adalah seorang pakar nanofiber dan persekitaran yang giat melaksanakan usaha penyelidikan bersifat translasional termasuklah kajian rawatan air.
UMS akan terus memacu usaha dalam mengimplementasi pelan strategik seiring dengan misi universiti sebagai peneraju masyarakat berinovatif.
Baru-baru ini Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr. Kasim Mansor telah melancarkan 10 Key Results Area bagi tempoh 2023-2027 sebagai menyokong Pelan Transformasi UMS 2050 yang berpaksikan kepada misi menjadi universiti bertaraf dunia melalui sinergi tempatan ke arah kelestarian kampus.
Bidang Keputusan Utama 3 iaitu Penyelidikan Boleh Terjemah
yang dipertanggungjawabkan di bawah ekosistem penyelidikan dan inovasi UMS sudah pun menjalankan beberapa inisiatif besar bagi meningkatkan lagi usaha penyelidikan yang bersifat translasional termasuklah penubuhan kluster penyelidikan dan living lab (makmal hidup).