SANDAKAN : Cepat penat dan semput. Itulah yang dirasai oleh Nurul Suhada Salam ketika pertama kali mengikuti ibunya menghadiri kelas tabata di sebuah pusat kecergasan di sini, enam tahun lalu.
Pada ketika itu, beliau yang mesra dipanggil Mieng, merasa rendah diri kerana terdapat beberapa individu lain yang lebih berusia darinya tetapi mempunyai tahap stamina yang baik dan boleh bergerak aktif.
Ia kemudian menjadi titik permulaan bagi gadis berusia 32 tahun itu untuk berbuat sesuatu bagi memperbaiki tahap kesihatan dan kecergasan dirinya.
“Saya bukanlah seorang yang aktif bersukan. Semasa bersekolah pun saya lebih banyak duduk di kerusi penyokong dan menyaksikan rakan-rakan lain yang mengambil bahagian dalam acara sukan.
“Saya bermula dalam bidang kecergasan pada tahun 2017, itupun selepas saya ‘kalah’ dengan stamina beberapa makcik semasa kelas tabata. Dari situ saya tahu saya perlu mengubah cara hidup ke arah yang lebih baik dan sihat.
“Tetapi pada ketika itu, saya tidak terlibat secara serius kerana tuntutan kerja hakiki dalam bidang pelancongan di Kinabatangan,” katanya kepada Sabah News Today.
Bagaimanapun, jodohnya dalam bidang kecergasan masih utuh apabila beliau diterima bekerja sebagai penyambut tamu (receptionist) di sebuah gimnasium di Sandakan pada tahun 2021.
Katanya, cara kerja yang santai membolehkannya menerokai, mencuba dan berlatih menggunakan alat senaman di gimnasium itu sehingga beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan kelas kecergasan bagi wanita.
“Malangnya, pekerjaan saya terjejas akibat penularan Covid-19. Saya tidak berputus asa, sebaliknya bangkit dengan mengadakan kelas kecergasan di kawasan umum seperti di kompleks sukan dan pusat riadah.
“Pada masa itu, saya melihat ramai wanita yang mahu bersenam tetapi mereka agak segan melakukan sesetengah rutin senaman di khalayak umum seperti berbaring dan melompat.
“Dari situ, saya terfikir mungkin lebih baik sekiranya ada kawasan tertutup untuk golongan wanita bersenam dengan bebas tanpa perlu risau diperhatikan dan masih boleh menjaga aurat,” jelasnya.
Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka sebuah studio kecergasan persendirian yang dinamakan sebagai “Vibe Fitness” pada Januari 2021.
Studio itu merupakan satu-satunya pusat kecergasan di Sandakan yang dikendalikan sepenuhnya oleh wanita dan menawarkan latihan kekuatan (strength training) serta latihan bebanan (weight training) khusus untuk wanita.
Beroperasi enam hari seminggu, studio tersebut menyediakan pelbagai jenis rutin senaman sama ada menggunakan peralatan seperti dumbbell dan barbell ataupun senaman tanpa bebanan.
“Hampir dua tahun studio ini beroperasi, naik turun itu memang sudah menjadi lumrah. Kehadiran pelatih juga bermusim, biasanya sebelum perayaan memang ramai yang datang sebab mereka mahu kelihatan kurus dan cantik pada masa itu.
“Selain itu, saya juga mengambil masa yang agak panjang untuk memperkenalkan Vibe Fitness kepada umum sebagai studio baharu untuk wanita di Sandakan kerana kurang pengetahuan dari segi pemasaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat kesedaran wanita di daerah ini mengenai latihan bebanan masih rendah jika dibandingkan dengan wanita di bandar-bandar besar lain seperti Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.
Katanya, tidak dinafikan terdapat pelatih yang mahu mencuba senaman di Vibe Fitness, tetapi risau sosok badan mereka akan menjadi sasa atau ‘sado’ sekiranya mengangkat beban.
“Tugas jurulatih kecergasan bersifat menyeluruh. Selain mengajar teknik senaman yang betul dan membantu pelatih mendapatkan berat badan ideal, saya juga berkongsi ilmu kesihatan dan menjelaskan banyak perkara termasuk mitos berkaitan diet dan latihan bebanan.
“Risau badan akan menjadi sado itu sudah banyak kali saya dengar. Di sinilah saya melihat pentingnya agar seorang jurulatih kecergasan itu untuk mempunyai tauliah,” katanya yang telah memperolehi sijil jurulatih kecergasan di bawah kelolaan National Association of Strength and Conditioning (NASC), tahun lalu.
Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, Mieng menyimpan harapan agar dapat meluaskan ilmu dan pengalaman dalam bidang kecergasan di luar negara selain dapat membuka lebih banyak cawangan Vibe Fitness di daerah lain.