KOTA KINABALU : Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sambutan berkenaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam 16 September akan datang.
Katanya, perkara ini telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk Hari Malaysia secara maya yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Saifuddin Abdullah pada Selasa.
“Bagi pihak kabinet negeri, kami berterima kasih dan menghargai keputusan Kerajaan Pusat atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan program ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai mesyuarat secara maya di Bangunan Umno Sabah di sini.
Menurut Bung yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri, bagi mempastikan kelancaran perjalanan program ini, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana diperingkat negeri bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan telah pun diadakan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara, sambutan akan diadakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP).
“Ia akan berlangsung di tempat tertutup dengan penjarakan sosial, dengan kehadiran yang terhad yang dianggarkan sekitar 500 orang walau bagaimana pun ianya bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik COVID-19 di negeri ini, “ katanya.
Menyentuh dengan pengisian program Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pelbagai acara telah siap disusun antaranya, Majlis Tahlil, persembahan koir, majlis memotong kek Hari Malaysia, dan tayangan Montaj.
Tambah Bung selaras dengan tema tahun ini iaitu, ‘Malaysia Prihatin’ satu persembahan khas dari artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah di persembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dalam menangani wabak COVID-19.
“Kita berharap melalui sambutan Hari Malaysia bukan sahaja menyuntik semangat patriotik rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan genersi muda, dalam pembentukan negara yang bersatu padu dan harmoni, namun melalui sambutan ini kita mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersoladariti memerangi pandemik COVID-19,” katanya.