Sabah rekod kadar prevalen pesakit talasemia tertinggi di Malaysia

SANDAKAN : Sabah merekodkan kadar prevalen pesakit talasemia tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 22.72 peratus, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Doktor Asits Sanna.

Menurut beliau, statistik pada tahun 2022 merekodkan Sabah mempunyai seramai 1,793 pesakit talasemia termasuk 71 pesakit yang baharu dikenalpasti.

Manakala, katanya rekod setakat Julai tahun ini sahaja menyatakan seramai 40 pesakit baharu dikenalpasti dan mencatat 25 kematian.

“Kematian ini disebabkan oleh dua penyebab utama bagi pesakit talasemia di negeri ini iaitu jangkitan kuman dan kompikasi jantung.

“Sehubungan itu, adalah amat penting bagi masyarakat untuk mengetahui status kesihatan dengan menjalani ujian saringan talasemia di fasiliti kesihatan kerajaan secara percuma sebelum berkahwin,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Talasemia Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Dataran Sejati Walk di Sandakan.

Dr Asits berkata mesej ini sangat penting untuk dihebahkan secara lebih meluas dan lebih kerap dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh mengurangkan risiko pasangan berkahwin terlibat untuk memperolehi zuriat dengan penyakit talasemia.

Mengulas lanjut, Dr. Asits berkata antara strategi Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengurangkan kes talasemia termasuk menjalankan program saringan yang mensasarkan golongan remaja Tingkatan 4 di sekolah, saudara-mara pembawa talasemia dan pasangan yang bakal berkahwin.

Katanya tahun lalu merekodkan seramai 38,339 pelajar Tingkatan 4 di seluruh Sabah, bagaimanapun hanya 82% ataupun 31,447 pelajar yang diberi kebenaran oleh ibu bapa untuk menjalani saringan talasemia.

“Oleh itu, saya menyeru kepada ibu bapa agar memberi sokongan dand membenarkan anak mereka menjalani saringan agar masalah talasemia dapat dikurangkan,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr. Maria Suleiman dan Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr. Johari Awang Besar.