KOTA KINABALU: Pelan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dapat direliasasikan dengan lebih cepat menerusi penerapan nilai integriti dan penghapusan unsur rasuah membabitkan penjawat awam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata perkara itu penting kerana Kerajaan Negeri komited untuk memberikan peruntukan yang besar bagi menjayakan Hala Tuju SMJ yang memfokuskan tiga elemen utama.
Katanya, SMJ memberikan tumpuan yang besar terhadap sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, disusuli usaha memperkasa Modal insan dan Kesejahteraan Rakyat serta penyediaan Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
“Inilah usaha Kerajaan Negeri yang ingin melihat Sabah terus membangun, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan negeri-negeri lain.
“Semua usaha yang dilakukan ini akan sia-sia sekiranya pelaksana di peringkat jentera kerajaan dan swasta gagal memahami maksud Sabah Maju Jaya dan gagal menghayati budaya kerja berintegriti serta menghindari perbuatan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Bual Santai ‘Misompuru Tokou: Apa Khabar KK’ di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
Hajiji berkata, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam sangat penting untuk memastikan hala tuju, visi dan misi kerajaan dapat dicapai serta dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya, ia selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang mempunyai pelbagai insentif untuk membangunkan negeri ini, khususnya ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Kita amat memerlukan penjawat awam yang mampu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ikhlas. Pembudayaan amalan integriti mampu melahirkan warga kerja yang lebih efisien, produktif, beretika dan mewujudkan mekanisme kawalan bagi memastikan peraturan dan dasar yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.
Menurutnya, penjawat awam perlu sedar bahawa nilai integriti tidak terhad kepada satu perkara sahaja, sebaliknya ia melibatkan semua tindakan sama ada melalui penampilan, sikap dan sebarang keputusan yang diambil.
Beliau berkata, tanpa mengamalkan budaya kerja berintegriti, semua perancangan akan gagal, menyebabkan berlaku ketirisan besar dalam perbelanjaan kerajaan sehingga imej kakitangan awam kerajaan dan pemimpin negeri tercemar, manakala rakyat tidak lagi mempercayai jentera kerajaan dan perkhidmatan awam.
Hajiji berkata, tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu dasar yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kepercayaan rakyat berkait rapat dengan keyakinan terhadap perkhidmatan awam. Kepercayaan dan keyakinan rakyat akan bertambah sekiranya perkhidmatan awam mempunyai imej berintegriti, berdaya saing serta efektif,” katanya.
Beliau juga mahu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada beberapa tujahan untuk memastikan sistem pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan berkesan, bebas daripada ancaman rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berlandaskan prinsip integriti.
“Antaranya ialah memperkasakan program integriti di peringkat negeri dengan menyediakan sejumlah peruntukan khas bagi menampung program pengukuhan integriti yang tidak hanya tertumpu kepada taklimat dan ceramah semata-mata, sebaliknya perlu segar, kreatif dan seiring dengan teknologi semasa.
“Seterusnya menghantar penjawat awam negeri menghadiri program Pegawai Integriti Bertauliah setiap dua tahun bagi memastikan sekurang-kurangnya setiap jabatan mempunyai seorang pegawai integriti bertauliah, sekali gus memperkukuhkan tatakelola agensi kerajaan dan memastikan usaha ‘check and balance’ dapat diperluaskan serta tidak terhad kepada program audit semata-mata,” katanya.
Selain itu, katanya usaha memperkasa Unit Integriti di peringkat badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GIC) juga perlu dilakukan dengan menambah bilangan pegawai yang kompeten dan mencukupi bagi melaksanakan fungsi Unit Integriti.
Pada masa sama, tambahnya, pemerkasaan Ppegawai Integriti Bertauliah Negeri Sabah juga mesti dilaksanakan dengan menghantar pegawai menghadiri program khusus sama ada dalam mahupun luar negara bermula pada 2024.
- ends
Pix – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong mewakili Ketua Menteri, melakukan gimik penutupan Program Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Bual Santai ‘Misompuru Tokou: Apa Khabar KK’ di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, Kota Kinabalu.