‘Beras naik harga sudah bos’..beras tempatan tiada

KOTA KINABALU: “Beras naik harga sudah bos, dulu satu paket lima kilogram baru RM13 lebih, sekarang sudah RM19, yang 10 kilogram sekarang sudah RM36.50, dulu tidak sampai RM25,” kata seorang pembantu jualan di sebuah pasar raya di Putatan, dekat sini.

Pekerja terbabit merujuk kepada beras putih import biasa yang turut dikenali sebagai beras Siam atau beras Vietnam yang sebelum ini antara jenis beras berharga murah di pasaran.

Beliau mengakui kenaikan antara RM6 hingga lebih RM10 itu amat tinggi, namun peniaga terpaksa melakukannya sejajar kenaikan harga beras putih import yang diumumkan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS), baru-baru ini.

Katanya, pengguna pasti terbeban dengan situasi itu, lebih-lebih lagi di Sabah tidak mempunyai pilihan yang banyak untuk membeli beras tempatan yang harganya kini lebih rendah setelah harga beras import dinaikkan.

“Di sini (pasar raya), kita cuma ada beras import, beras tempatan memang tiada. Jadi pengguna terpaksalah beli juga beras import walaupun harganya mahal,” katanya.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan pasar mini, di sini mendapati memang sukar untuk menemui beras tempatan, manakala beras import, kebanyakan yang ada adalah jenis wangi atau beras istimewa.

“Beras tempatan tiada, beras import biasa pula sudah habis kerana ramai pengguna membelinya sebelum harga naik hari tu, manakala bekalan baharu belum sampai. Apa yang ada ini sajalah (beras wangi),” kata seorang pembantu jualan.

Ramai pengguna mencari beras tempatan berikutan harganya lebih rendah ketika ini, namun rata-rata pekedai termasuk pasar raya hanya menjual beras import.

Situasi itu tidak menghairankan memandangkan Sabah tidak mengeluarkan beras tempatan yang mencukupi dengan tahap sara diri (SSL) ketika ini hanya kira-kira 23 peratus.

Ia bermakna Sabah bergantung sepenuhnya (hampir 80 peratus) kepada bekalan beras import untuk memenuhi keperluan rakyat negeri ini walaupun terpaksa berdepan kenaikan harga yang membebankan.

Di peringkat nasional, secara purata pengeluaran padi dan beras negara berada pada tahap SSL yang agak tinggi iaitu sebanyak 65 peratus, manakala hanya 35 peratus beras import.

Bagaimanapun, situasi itu lebih merujuk kepada pasaran di Semenanjung berikutan adanya jelapang padi yang besar dan aktif di beberapa negeri khususnya di Kedah yang mampu menampung keperluan penduduk di sana.

Pengguna, Razman Abdullah, 45, berkata kerajaan Sabah perlu mengambil langkah segera meminta kerajaan persekutuan membantu menangani isu harga dan bekalan beras di negeri ini termasuk memasarkan lebih banyak beras tempatan dari Semenanjung ke sini.

“Kalau harap beras tempatan dari Sabah sendiri memang tidak ada, jadi bawalah beras tempatan dari Semenanjung ke sini jika beras import semakin mahal.

“Jika tidak, ramai rakyat Sabah berdepan kesukaran berikutan harga beras import yang semakin mahal, malah mungkin ada yang terpaksa kembali ke zaman Jepun, makan ubi kayu saja,” katanya.

Katanya, walaupun beras tempatan, harga di Sabah pasti lebih mahal jika ia dibawa dari Semenanjung berikutan kos pengangkutan.

Tambahnya, situasi sama juga berlaku terhadap beras tempatan keluaran Sabah sendiri kerana difahamkan kos pengeluaran yang tinggi di negeri ini menyebabkan harga juga lebih mahal.

“Mahu atau tidak rakyat Sabah terpaksa juga membeli beras dengan harga yang lebih tinggi sama ada beras tempatan atau import.

“Ini belum dikira lagi perbuatan segelintir peniaga yang mungkin menukar bungkusan beras tempatan menjadi beras import untuk mengaut keuntungan..kesannya sudah tentu pengguna yang menanggungnya,” ujar Ramzan.