KOTA KINABALU: Ketika keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif baharu terhadap eksport Malaysia menimbulkan kebimbangan, Sabah tampil dengan nada optimistik dan keyakinan tersendiri.
Ahli Korporat Perniagaan, Dr. Davina Markus Majihi dan Ahli Ekonomi dan Akademik, Dr. Awang Faisal Assyiffa menyifatkan situasi ini bukan sekadar cabaran, tetapi satu peluang strategik untuk menilai semula kekuatan ekonomi Sabah dan memperkukuh daya tahan negeri terhadap gangguan luaran.
“Sabah tidak akan tumbang hanya kerana satu sekatan asing. Ini masa terbaik untuk kita menyusun strategi dan memanfaatkan potensi luar biasa yang sudah lama kita miliki,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Sebagai negeri pengeluar utama petroleum mentah, LNG dan minyak sawit, Sabah memiliki kedudukan strategik dalam rantaian bekalan global. Projek seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) menjadi bukti bahawa Sabah bukan sekadar pembekal bahan mentah, tetapi juga berpotensi besar sebagai pemain dalam sektor hiliran.
Kepimpinan Stabil, Hala Tuju Jelas
Menurut mereka, kepimpinan negeri di bawah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memainkan peranan penting menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang terbukti bukan sekadar dokumen dasar, tetapi peta hala tuju ekonomi yang kukuh dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Tadbir urus yang baik, pengurusan kewangan yang berhemah dan fokus kepada peluang pekerjaan menjadi tunjang kepada kestabilan ekonomi Sabah,” jelas mereka.
Dari Halangan Kepada Peluang
Walaupun tarif AS mungkin menjejaskan perdagangan langsung, Sabah disaran agar tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja. Negara-negara seperti Jepun, Korea, Emiriah Arab Bersatu dan India dikenal pasti sebagai rakan dagang yang progresif dan terbuka. Tambahan pula, keanggotaan Malaysia dalam RCEP memberi kelebihan besar kepada Sabah untuk menembusi pasaran serantau tanpa sekatan tarif dari AS.
“Ini bukan hanya memberi manfaat kepada syarikat besar, malah membuka peluang antarabangsa kepada usahawan kecil dengan kos dagangan yang lebih rendah,” kata mereka.
Fokus Kepada Nilai Tambah dan Anak Muda
Penekanan turut diberikan kepada keperluan memperkasa sektor hiliran yang menghasilkan produk bernilai tinggi seperti petrokimia, sabun sawit dan biodiesel. Selain menstabilkan pendapatan negeri, langkah ini mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda tempatan.
“Penglibatan kami dalam sektor hiliran membuktikan potensi besar yang boleh dicapai apabila Sabah diberi ruang dan kepercayaan untuk memajukan industri sendiri,” tambah mereka.
Kemajuan Inklusif: Dari Kampung ke Pasaran Global
Sabah turut memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif dengan memastikan pekebun kecil, nelayan dan usahawan mikro tidak ketinggalan dalam arus kemajuan. Pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan mikro, latihan kemahiran dan digitalisasi sedang giat dijalankan bagi memperkasakan rakyat Sabah dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini.
Autonomi Ekonomi: Sabah Bersedia
Mereka turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar Sabah terletak pada rakyatnya. Dengan ramai anak Sabah kini berjaya di peringkat nasional dan antarabangsa, sudah tiba masanya negeri ini diberi lebih kuasa autonomi dalam urus tadbir ekonominya.
“Kita tidak anti-persekutuan. Tetapi kita mahu Sabah diberi ruang dan kuasa yang sepatutnya untuk mentadbir ekonominya secara lebih berkesan,” tegas mereka.
Cadangan Penubuhan Unit Pemantauan Perdagangan
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi perubahan dasar global, mereka mencadangkan agar Kerajaan Sabah menubuhkan Unit Pemantauan Perdagangan peringkat negeri yang bebas dan berfungsi sebagai penasihat strategik dalam isu perdagangan antarabangsa.
Keyakinan Terhadap Masa Depan Sabah
Akhirnya, mereka menyatakan keyakinan penuh bahawa Sabah memiliki segala ramuan untuk menjadi antara tunjang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia – daripada sumber semula jadi yang kaya, tenaga kerja berdedikasi hingga kepada kepimpinan negeri yang berwawasan.
“Apa yang kita perlukan sekarang hanyalah keyakinan terhadap keupayaan sendiri. Sabah mampu berdiri megah di pentas global,” kata mereka.