Rokok seludup pelbagai jenama hampir RM1 juta dirampas

SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM).menyerbu sebuah rumah atas air dijadikan stor penyimpanan rokok seludup pelbagai jenama berjumlah hampir RM1 juta dalam serbuan di Batu 3, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi jam 9.30 malam itu pasukan operasi berjaya merampas 20 kotak dan 10 plastik mengandungi rokok seludup.

Katanya, serbuan itu dijalankan berikutan laporan maklumat serta risikan diterima pihaknya.

“Hasil serbuan ke atas sebuah rumah di perkampungan atas air menemui 20 kotak dan 10 plastik warna hitam mengandungi rokok pelbagai jenama tidak bercukai.

“Rumah berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup sebelum di pasaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan rokok seludup berjumlah RM943,902.

“Barang rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1968,” katanya.