Sabah mencatat 10.7 bilion nilai perdagangan bersama China tahun lalu – Hajiji

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan nilai perdagangan terbesar dua hala bersama Negara China berjumlah RM10.7 bilion tahun lepas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji  Noor berkata, jumlah perdagangan Sabah bernilai RM41.463 bilion, membabitkan eksport utama terdiri minyak sawit RM15.291 bilion, gas asli cecair (LNG)RM5.051 bilion.

Katanya, selain itu petroleum mentah mencatatkan nilai perdagangan RM2.548 bilion, minyak inti sawit RM1.289 bilion serta oleokimia berasaskan minyak sawit RM1.123 bilion.

“Perdagangan dua hala Sabah dengan China berjumlah RM10.654 bilion sekali gus menjadikannya rakan dagangan terbesar Sabah.

“China juga merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pelancong membabitkan seramai 135,855 daripada 396,564 ketibaan antarabangsa untuk tempoh empat bulan pertama tahun di Sabah,” katanya di sini hari ini.

Teksnya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji berkata, sektor pembuatan Sabah menerima RM3.07 bilion pelaburan dari China sehingga kini sekali gus mewujudkan 3,086 pekerjaan.

“Pelaburan ini melibatkan pembuatan kaca solar, silika dan pemprosesan, pembuatan makanan, produk getah, produk berasaskan kayu dan produk plastik.

“Sektor minyak sawit merupakan salah satu tunjang ekonomi Sabah,  sebagai pengeluar minyak sawit terkemuka di Malaysia, Sabah memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan global bagi komoditi serba boleh ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, Sabah menyumbang 24 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia pada 4.5 juta tan.

“Sektor ini merupakan sumbangan penting memacu dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan untuk komoditi penting ini.

“Selaras dengan piawaian alam sekitar global, 80 peratus ladang kelapa sawit di Sabah telah mencapai Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia setakat tahun lepas, kata Hajiji.