Sabah mampu depani banjir dengan kerjasama erat agensi, pasukan keselamatan

KOTA MARUDU: Kerajaan Sabah diyakini mampu mendepani ancaman dari segi cuaca seperti bencana banjir menerusi kerjasama erat pelbagai agensi dan pasukan keselamatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata agensi terbabit ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara manakala pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Di Kota Marudu saya ucap terima kasih kepada JKM, NADMA dan semua badan keselamatan serta berpuas hati dengan kerjasama dan bantuan dalam segala urusan pemindahan mangsa banjir. Bantuan makanan dan minuman juga semuanya dalam keadaan teratur pada saat ini.

“Walaupun kerosakan itu banyak, tapi itu akan diteliti selepas segala urusan berkaitan banjir seperti pemindahan mangsa selesai,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Gereja St Theresa di sini yang menempatkan 142 mangsa banjir.

Mengenai banjir di Kota Marudu, Ongkili berkata ia berlaku secara mengejut apabila taburan hujan melebihi paras biasa antara 40 hingga 50 milimeter sehari kepada 200 milimeter sehari hingga menyebabkan paras air di dua sungai besar di daerah itu iaitu Sungai Kanarom dan Sungai Bandau melebihi paras bahaya.

“Bagaimanapun, kita di Kota Marudu juga sudah lama bersedia, memang pegawai jawatankuasa bencana sudah buat persiapan dan ia akan berterusan untuk dua bulan akan datang,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan penduduk yang mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah dan mematuhi nasihat serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengekang penularan COVID-19.

“Kali ini keseluruhannya, kerjasama begitu baik sekali dalam semangat Keluarga Malaysia. Kami harap cuaca malam ini bertambah baik supaya mereka boleh kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

— BERNAMA