KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, Kalabakan selepas peruntukannya diumum dalam Belanjawan 2020.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pembinaan CIQ itu adalah projek yang amat penting untuk Sabah kerana menjadi laluan sempadan antara negeri itu dan Nusantara di Kalimantan Timur yang akan menjadi ibu negara baharu Indonesia.
“Kita akan berbincang dengan pihak Persekutuan kerana bagi kita ini adalah satu projek yang cukup penting dan tidak boleh ditangguhkan. Projek ini amat perlu bagi Sabah supaya satu laluan yang boleh digunakan untuk mereka (pengunjung) masuk ke Sabah atau ke Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji berkata projek itu seharusnya menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan agar kemasukan pengunjung ke Sabah dari kawasan Kalimantan terkawal selain mengelak wujudnya laluan tikus jika pembinaan ditangguhkan.
Ahad lepas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan menangguhkan pembinaan CIQ itu dilihat bakal merugikan ekonomi Sabah berikutan tempias ekonomi boleh diperoleh Sabah terutama di pantai timur apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan Timur.
Pada 23 Mac lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen dilaporkan berkata pembinaan CIQ di Kalabakan yang bernilai RM600 juta ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan oleh Kementerian Kewangan.
Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata kerajaan negeri juga sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan rundingan bersama kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas kepada negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga menyasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.
– BERNAMA