KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan program pengumpulan data pekerja asing dan bukan pemastautin bermula bulan depan bagi mengatasi isu pendatang asing di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah itu berkata Program Khas Pendataan Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah itu penting bagi mengetahui angka tepat antaranya pekerja asing dan pendatang asing di negeri ini.
Beliau berkata data yang dikumpulkan kelak termasuk data biometrik mereka yang terlibat dan akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi mencapai satu penyelesaian terhadap isu pendatang asing di negeri itu.
Ia (data dikumpulkan) dicadang kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menentukan hala tuju masa depan Sabah dengan isu (pendatang asing) tergantung sejak berpuluh tahun, kalau tidak diurus (pendatang asing) akan jadi isu keselamatan, sosial, kebajikan, pendidikan, alam sekitar dan pelbagai lagi.
Jika isu ini tidak diselesaikan sekarang anak cucu kita 40 tahun lagi akan bercakap isu yang sama, mereka mungkin berdepan dengan isu lebih besar daripada apa kita hadapi kini dan kerana itu kita kena letak satu platform untuk kerajaan negeri dan Persekutuan buat keputusan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said di Menara Kinabalu di sini.
Bung Moktar berkata jumlah pendatang asing di negeri ini sukar ditentukan disebabkan percanggahan data antara agensi serta jabatan yang terlibat, justeru program berkenaan juga diharap dapat menyelaras jumlah pendatang asing bagi membolehkan tindakan susulan dilaksana dengan sebaiknya.
“Semua sektor termasuk ladang, pertanian juga semua sektor akan kita buat pendataan bagi memastikan tidak ada satu orang pun terlepas dari pendataan kita…jumlah sasaran sukar ditentukan kerana data bercanggah tetapi kita mahu semua ada masuk.
Selepas pendataan kita buat susulan, kita lihat untuk daftar dan hantar pekerja asing ini ke sektor sesuai, mereka tidak kita suruh terus kerja sebaliknya kita lihat skim latihan supaya mereka memenuhi keperluan tempatan,” katanya menambah sektor perladangan menggaji pendatang asing teramai negeri ini.
Sementara itu dalam kenyataan sempena program itu, beliau berkata Program Khas Pendataan Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah dilaksanakan Smart Sabah Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat milikan penuh kerajaan negeri dari 3 Feb hingga 2 Ogos tahun ini.
Menurut kenyataan itu selepas program itu berakhir, semua majikan yang masih menggaji pekerja asing tidak sah akan dikesan dan diambil tindakan tegas menerusi operasi bersepadu pihak berkuasa, manakala pekerja asing tidak sah akan dihantar pulang.
— BERNAMA