KOTA KINABALU: Sabah memformalkan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dengan memeterai perjanjian pasti dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) hari ini.
Ini susulan pemeteraian Kepala Perjanjian (HoA) antara SMJ Sdn Bhd (SMJSB) dan PCSB yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.
Kedua-dua pihak juga telah bersetuju dengan syarat-syarat dalam Perjanjian Operasi Bersama (JOA), iaitu PCSB akan terus menjadi pengendali bagi PSC Samarang dengan SMJSB sebagai rakan kongsi bukan operasi.
Ketua Menteri memuji semua pihak kerana menyegerakan pemeteraian perjanjian ini, sambil menambah Sabah akan meneruskan perjanjian dan penyertaan selanjutnya dalam industri minyak dan gas negeri.
PSC Samarang mempunyai tujuh medan pengeluaran minyak dan gas sedia ada iaitu Samarang, Samarang Kechil, Sumandak, Zuhal, Alab, Erb West dan Kinarut, dan dua terminal penerima gas di Kota Kinabalu dan Pulau Labuan.
PCSB ialah pengendali dan kini memegang 100 peratus kepentingan penyertaan di bawah PSC Samarang sejak 1995 dan telah menandatangani perjanjian tambahan PSC dengan PETRONAS pada 2018 untuk melanjutkan operasi PSC sehingga 31 Disember 2035.
SMJSB akan menerima 50 peratus kelayakan rakan kongsi daripada pengeluaran minyak dan gas kira-kira 36 ribu tong bersamaan minyak sehari (kboe/d).
Kesimpulan daripada pengambilalihan ini adalah perkembangan kedua penting antara PCSB dan SMJSB berikutan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah pada 7 Disember 2021.
Pada 9 Januari 2023, SMJSB telah menandatangani HoA dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) untuk pengambilalihan 25 peratus kepentingan dalam loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR).
SMJSB juga telah menandatangani Surat Perjanjian Persefahaman (LoU) mengenai pengaturan pilihan back-in untuk PSC Blok SB409 yang memberikan entiti milik Negeri Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan setelah selesai komitmen kerja atau penemuan komersial, yang mana lebih awal.