KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu menaiktaraf sekali gus mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara Kedua selepas Pelabuhan Klang.
Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan berkata pengisytiharan memudahkan proses mobilisasi industri eksport bagi komoditi utama Sabah melibatkan sektor prima.
Katanya, ini termasuk pertanian dan pembuatan serta mengaktifkan aktiviti perkapalan domestik dan antarabangsa.
“Cadangan itu juga akan memperkasakan dan merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi merentasi wilayah, mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan wilayah melalui aktiviti eko-pelancongan.
“Ini akan menggalakkan pelaburan langsung asing dan secara tidak langsung mengatasi dan mengimbangi perbezaan besar nilai harga bahan mentah dan harga barangan keperluan di antara Sabah dan Sarawak serta Semenanjung,” katanya.
Bobbey berkata beliau mencadangkan kepada kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara yang kedua selepas Pelabuhan Klang.