Sabah Dijangka Melepasi Sasaran Kedatangan 3.5 Juta Pelancong tahun ini – Hajiji

KIULU : Sabah menerima seramai 923,709 pelancong pada suku pertama 2025, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau melahirkan keyakinan sasaran ini bukan sahaja mampu dicapai, malah berpotensi untuk melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024.

Hajiji melawat pameran jualan dan walai moginakan pada majlis itu.

Katanya, pada tahun lalu Sabah mencatat kehadiran 3.2 juta pelawat berbanding sasaran awal seramai 3 juta pelancong.

“Sebagai lagi ke arah itu, kita tekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan pertanian. 

“Keadaan infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, ini merupakan pencapaian sangat memberangsangkan dengan sumbangan ketara daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT), terutamanya di kawasan pedalaman negeri ini, seperti Kiulu.

Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Padi Bukit kepada Tousin Sumin dari Kampung Sinangsag Kiulu pada majlis itu.

“Jumlah keseluruhan hasil negeri daripada CoBT meningkat kepada RM7 juta pada 2024, berbanding RM6.7 juta pada 2023 daripada 18 daerah aktif.

“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin utama kepada ekonomi Sabah.