RANAU: Sabah merupakan contoh kepada konsep ‘Malaysia Madani’ sekali gus selaras meraihkan Pesta Kaamatan sebagai platform memupuk kepada perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik), Datuk Amisah Yassin berkata, amalan mengamalkan kepelbagaian agama dan budaya memperlihatkan semangat rakyat Malaysia yang bersatu padu, muhibbah dan harmoni.
Katanya, Konsep Malaysia Madani adalah sebagai satu acuan besar nasional, perlu diterjemahkan secara lebih spesifik dengan pengisian terbaik mengikut konteks tempatan.
“Konsep Malaysia Madani juga selaras dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’.
“Oleh itu, marilah bersama kita menjaga dan pertahankan keamanan, persahabatan dan kebersamaan sesama kita yang amat unik di negeri ini. Kitalah boleh menjadi model contoh yang terbaik konsep ‘Malaysia Madani’ yang menekankan perpaduan kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Kampung Matan Ranau di sini semalam.
Amisah merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (GAGASAN) DUN Paginatan berkata, gagasan Membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di Sabah, termasuk dari segi landskap serta ekosistem tempatan negeri ini.
“Kita mengaku konsep Malaysia Madani memang sudah berciri menyeluruh dan inklusif. Namun, kita perlu juga sedar bahawa Malaysia Madani adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.
“Justeru, proses menterjemah gagasan besar kebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik adalah penting.
“Sebagai satu acuan besar nasional, Malaysia Madani memerlukan pengisian terbaik yang lebih khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya.
Dalam konteks berkaitan, Amisah berkata, Sabah memiliki keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang belum mendapat tempat cukup kukuh dalam citra kebangsaan.
“Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani.
Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi ciri lokal.
“Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada landskap dan ekosistem Sabah.
“Saya percaya, dalam mewujudkan sebuah negara benar-benar madani, proses itu harus dipacu prinsip keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara,” katanya.
Amisah menambah, sebagai sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai pelbagai latar etnik, geografi dan sejarah, beliau berkata, Sabah boleh mengambil posisi di hadapan bagi menterjemah ciri madani itu.