Sabah catat pelaburan RM11.5 bilion pada 2022

KUALA LUMPUR: Sabah mencatat pelaburan RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi pada tahun lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, ia membabitkan 89 projek dan bakal menjana 4,566 jumlah peluang pekerjaan.

“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan itu, sebanyak RM9.2 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI), manakala RM2.3 bilion adalah pelaburan langsung domestik.

“Sektor perkilangan menjadi penyumbang terbesar sebanyak RM8.4 bilion atau 72.9 peratus, manakala sektor utama menyumbang RM1.6 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya, di Dewan Negara, hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, projek berprofil tinggi bernilai lebih RM100 juta terutamanya dalam sektor produk petroleum, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited menarik FDI ke Malaysia termasuk di Sabah khususnya bagi industri yang disasarkan.

“Dalam hal ini, MIDA sentiasa bekerjasama secara strategik dengan semua agensi pelaburan di peringkat negeri dan Koridor Ekonomi dalam menarik pelaburan.

“MIDA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE Sabah) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dalam misi pelaburan serta perdagangan untuk mempromosikan peluang pelaburan yang ada di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, antara sektor ekonomi baharu yang berpotensi tinggi dibangunkan di Sabah yang dikenal pasti sebagai industri disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah sektor perkilangan berasaskan teknologi hijau dan mesra alam; industri tenaga boleh diperbaharui; pembangunan sektor perkhidmatan logistik dan sektor ekopelancongan.