KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti sudah dimuktamadkan dan akan dibentang pada persidangan Parlimen bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“RUU ini dicadangkan akan dibahaskan pada 27 dan 28 Julai 2022 di Dewan Rakyat, walau bagaimanapun ia tertakluk kepada budi bicara Yang Di Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Junaidi, setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan.
Manakala, pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September ini.
Bagaimanapun Wan Junaidi berkata berkata, terdapat beberapa persoalan yang telah dibangkitkan segelintir ahli jemaah menteri menerusi mesyuarat kabinet yang berlangsung pada 1 Jun lalu dan persoalan-persoalan tersebut telah dijawab oleh jawatankuasa pilihan khas serta dipanjangkan ke mesyuarat mereka pada pagi tadi.
“RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta penyata (laporan) daripada jawatankuasa pilihan khas tersebut akan dibentangkan atau diletakkan di atas meja mereka di Parlimen pada 18 Julai Ini.
“Penyata (laporan) dan pindaan perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Menurutnya, garis masa RUU itu juga mencadangkan supaya libat urus pihak Bahagian Hal Ehwal UndangUndang dan Pejabat Peguam Negara (AGC) bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan dan pembangkang pada 25 dan 26 Julai.
Sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara pula akan diadakan pada 8 Ogos dan bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos diikuti bacaan kedua pada hari berikutnya.
Akta itu sepatutnya digubal semasa mesyuarat persidangan pertama Dewan Rakyat tahun ini. Tarikh akhir itu luput pada 24 Mac.
Terdapat 39 ahli Parlimen yang telah melompat parti sejak pilihan raya umum 2018.