PENAMPANG: Sejumlah RM9.5 juta diperuntukkan kepada Lembaga Kebudayaan Sabah serta RM400,000 kepada persatuan kebudayaan melaksanakan aktiviti kebudayaan, kesenian dan bahasa dalam Belanjawan 2022 Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha ini bagi memastikan tradisi kepelbagaian etnik merupakan aset pelancongan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.
“Satu Pelan Pembangunan Kebudayaan Sabah akan digubal untuk memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ini merupakan strategi digerakkan dalam program pendigitalan untuk memperkasa capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan negeri melalui Pembangunan Cultural Mapping dan Pembangunan e-Heritage,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di sini hari ini.
Hajiji berkata, kemeriahan sambutan di seluruh negeri ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat sentiasa kukuh dan terpelihara.
“Saya percaya simbolik semangat perpaduan ditunjukkan dalam perayaan ini boleh dijadikan contoh untuk memacu pembangunan serta kemajuan negeri ini.
“Perayaan ini sesungguhnya mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini,” katanya.