KOTA KINABALU: Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata pihaknya memandang berat berkaitan kerancakkan China dalam memperbesarkan usaha pencerobohan sempadan mereka di Laut China Selatan.
Katanya, keberadaan kapal peronda China berhampiran ruang laut Sabah sangat memberikan tekanan dan menjejaskan ekonomi maritim Sabah.
“Lebih merisaukan lagi adalah apabila kapal terbang pejuang ‘halimunan’ China, J-20 direkodkan semakin giat berlegar di ruang udara Laut China Selatan.
“Menurut laporan dari Tentera Laut DiRaja Malaysia menunjukkan terdapat 23 pencerobohan sempadan laut dilakukan China pada tahun 2021 sahaja ke atas Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Jaziri berkata, pencerobohan ini bukan sahaja merupakan cabaran besar ke atas kedaulatan negara, malah menyentuh sumber rezeki rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya golongan nelayan.
“Aktiviti perikanan terganggu dengan kehadiran kapal peronda China yang menggunakan alasan latihan ketenteraan.
“Ini menggangu industri perikanan dan boleh melumpuhkan sektor ekonomi. Industri perikanan kini dianggarkan pada nilai RM1.2 billion melibatkan lebih kurang 30,000 nelayan.
Perikanan ini adalah sumber kehidupan para nelayan mesti lindungi, sekiranya berlarutan, kesan negatif bakal dilihat dalam isu bekalan makanan melibatkan makanan laut.
“Nelayan Sarawak di kawasan Miri juga berdepan masalah dibuli ketika menjalankan aktiviti mereka.
“Lebih mengecewakan adalah nelayan haram daripada China pula mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley.
“Perkara ini tentu sahaja mendukacitakan nelayan tempatan yang telah dinafikan sumber rezeki mereka,” katanya.