PITAS : Sejumlah RM35,000 disumbangkan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas bagi memperkasa serta menyantuni masjid dan surau sempena sambutan bulan Ramadan.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah, berkata, selain surau dan masjid, sembilan lagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk Masjid Al-Amin menerima sumbangan berjumlah RM10,000.
Katanya, pihaknya juga menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada 12 masjid dan 23 surau bagi membaikpulih serta menambah peralatan yang diperlukan.
“Kita juga menyumbang RM1,000 kepada setiap PDM meraikan penduduk kampung untuk bersama-sama menjayakan program berbuka puasa.
“Saya akan turut hadir ke setiap PDM bagi menyantuni masyarakat dengan berbuka bersama selain berpeluang mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya.
Ruddy merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan RM3,000 pada program bubur lambuk di sekitar daerah Pitas pada 22 Mac ini di Surau Kampung Ranggu Pitas.
“Sebagai pemimpin di Pitas, kita mahu menyantuni semua agama dan juga suku kaum bagi membangunkan pembangunan kepada masyarakat dalam misi membawa Pitas keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Saya sekeras-kerasnya memberi amaran kepada pucuk pimpinan agar sentiasa berlaku adil pada semua kaum bagi mewujudkan perpaduan di daerah ini,” jelas Ruddy.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Pitas (Pentadbiran), Johari Abdullah, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Pitas, Jeffri Suari dan Pemimpin UPPM Pitas, Ramlah Nasir.