TPM akan berbuka puasa bersama rakyat Labuan 23 Mac ini

LABUAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama rakyat Labuan di Masjid Sultan Abdullah Kampung Sungai Bedaun pada 23 Mac ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, Ahmad Zahid Hamidi merupakan Presiden UMNO dijangka menyerahkan sumbangan barangan keperluan persiapan Aidil Fitri kepada lebih 500 umat Islam.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka mengumumkan beberapa projek sedang dan yang akan dilaksanakan di sepanjang tahun ini.

“Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri dijangkan akan menyampaikan pelbagai bantuan insentif kepada 100 warga Labuan yang terdiri daripada golongan B40.

“Antaranya pemberian enjin sangkut, mesin jahit serta beberapa barangan keperluan lain yang boleh dijangka mampu meningkatkan ekonomi golongan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Rafi merupakan Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, sebelum ini KKDW sudah meluluskan pelbagai projek untuk kemudahan rakyat termasuk pembinaan jalan kampung, pembinaan baharu Projek Rumah Rakyat Termiskin (PPRT) serta baik pulih PPRT melibatkan peruntukan hampir RM5 juta.

“Pada tahun ini KKDW mengumumkan peruntukan RM2 juta lagi bagi pembinaan 20 rumah baharu PPRT dan 30 buah naik taraf PPRT.

“Ini merupakan satu petanda baik bagi memastikan kerajaan sangat perihatin kepada rakyat yang kurang berkemampuan terutama di kawasan Labuan,” jelas Mohd Rafi.