TUARAN: Kerajaan memperuntukkan RM10 juta dalam program ‘Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi memperkasakan golongan muda di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu usahawan belia.
Katanya, kerajaan mahu agar belia terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan sekali gus dapat menjamin masa depan mereka.
“Sekiranya peruntukan yang disediakan ini tidak mencukupi, insha’Allah kita akan pertimbangkan untuk menambahnya”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Konvoi Semarak Hari Malaysia di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok Batik Tuaran, hari ini.
Dalam perkembangan sama Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri menyampaikan sumbangan Bantuan Pembelian Peralatan Motosikal kepada 150 orang penunggang P-Hailing.
Ini termasuklah sumbangan kepada 150 penerima untuk Bantuan Prihatin di kawasan Tuaran.
Sementara itu dalam perkembangan sama Hajiji berkata, Konvoi Semarak Hari Malaysia serta penyampaian Bantuan Prihatin merupakan program khusus menyantuni golongan muda termasuk mereka kurang berkemampuan.
“Kerajaan akan menyokong sepenuhnya kepada program melibatkan penyertaan anak-anak muda agar tidak terlibat dalam program serta aktiviti yang berfaedah, positif dan sihat,” katanya.