ESScom rampas 69 pambot dalam operasi GASAK

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merampas 69 buah ‘Pambot’ dalam Operasi GASAK Laut secara bersepadu di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) di sini semalam.

Komander ESSCom DCP Hamzah Ahmad, berkata ketika pemeriksaan tersebut seramai  55 orang pendatang tanpa izin (PTI) terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan murah di Sabahnewstoday.

Katanya, kesemua PTI ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan.

“Dalam operasi ini 88 buah pambot milik warga tempatan dan warga asing diperiksa secara serentak di perairan tersebut.

“Kesemua pambot ditahan ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 diserahkan kepada pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

DCP Hamzah berkata, berdasarkan rekod tangkapan  mendapati pambot ini sering digunakan elemen penjenayah rentas sempadan melakukan aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESS Zone.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi ini  untuk membanteras penggunaan pambot haram dari semasa ke semasa.

“Semua pemilik pambot di perairan pantai timur Sabah dinasihatkan untuk mendapatkan lesen sah yang dikeluarkan oleh pihak JPDS bagi mengelak daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.