Polis kesan individu tinggalkan bayi baharu dilahirkan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis kini sedang giat mengesan individu berikutan penemuan seorang bayi baharu dilahirkan ditinggalkan di gerai di Batu 5 Kampung Jaya Baru Jalan Tengah Nipah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Iklan murah di Sabahnewstoday.

Katanya, kes ini dengan niat hendak membuang bayi itu, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal polis mendapati bayi lelaki yang dipercayai baharu lahir itu seberat 2.9 kilogram dipercayai ditinggalkan tanpa pakaian ditemukan kira-kira jam 7 pagi, semalam.

“Bayi tersebut ditemui oleh seorang pemilik gerai berumur 30 tahun ketika ingin memulakan perniagaan.

“Pemilik gerai itu kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

ACP Rohan Shah berkata, bayi kini dirawat di Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan serta rawatan selanjutnya.

Beliau mengesa agar orang ramai mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi talian hotline IPD Lahad Datu Sabah di nombor 089-881255atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Marlisa Maedika @ Mardeka di talian 016-2194554.