Parlimen Tenom dan Papar sasaran KDM bertanding dalam PRU15

KOTA KINABALU: Kerusi Parlimen Tenom dan Papar antara sasaran bagi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, setakat ini jumlah kerusi ditandangi masih belum dimuktamadkan namun Parlimen Tenom serta Papar sudah pasti berada dalam senarai.

“Kita akan umumkan kedudukan kita dan kawasan mana akan bertanding tapi, sudah pasti Tenom adalah menjadi keutamaan KDM.

“Setakat ini Parlimen Tenom dan mungkin juga Parlimen Papar sebab di sana ada dua wakil rakyat kita, takkan tidak bagi keutamaan dengan kita,” katanya.

Peter merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, ketika ini KDM memberikan fokus kepada usaha memperkukuhkan parti menerusi siri jelajah dijalankan di seluruh negeri.

Mengulas mengenai perkembangan kedudukan KDM dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Peter berkata, beliau bersama Datuk Juil Nuatim memberi sokongan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, berkaitan isu sama ada parti KDM diterima dalam GRS atau tidak bukan isu utama mereka pada ketika ini.

“Apa yang penting matlamat kita akan teruskan perjuangan untuk membantu rakyat di negeri Sabah.

“Kita diterima atau tidak, terpulang kepada budi bicara Pengerusi GRS. Jika tidak diterima sekali pun, kita akur, berkemungkinan kita parti yang kerdil dan masih baharu,” katanya.