Rayuan terakhir Najib didengar Khamis ini – Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangguhkan pendengaran rayuannya bagi mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya dalam kes berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.

“Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” katanya.

Ini merupakan rayuan bekas perdana menteri itu yang terakhir, selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lepas mengekalkan sabitan Ahli Parlimen Pekan itu, hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

Lain-lain panel hakim dalam pendengaran hari ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam menyampaikan penghakimannya Tengku Maimun menetapkan bahawa permohonan yang dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik bagi tempoh penangguhan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ditolak sebulat suara, kerana hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.

“Dalam perkara ini kita perlu ingatkan diri sendiri mengenai Arahan Amalan Ketua Hakim Negara, yang mengatakan bahawa kes-kes yang sebegini perlu diberi keutamaan. Realiti sebenarnya adalah dana awam yang agak besar akan dibazirkan sekiranya penangguhan diberikan dalam kes sebegini yang merupakan satu pilihan mudah.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang menuntut perayu dilayan sama seperti tertuduh lain. Oleh itu, kami menyatakan sekali lagi bahawa walaupun perayu berhak mendapat haknya menukar peguam, dia tidak berhak membuat pilihan ini dengan mengorbankan mahkamah, pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan,” katanya dan menambah pihak pembelaan memohon penangguhan rayuan ini atas sebab mudah, bahawa mereka tidak bersedia.

Tengku Maimun menegaskan bahawa masa yang diambil untuk kes ini, terutama jumlah hari yang ditetapkan untuk pendengaran, bermakna ramai lagi penjenayah dan orang yang dituduh terpaksa menunggu giliran mereka untuk rayuan mereka didengar.

“Keadilan yang ditangguhkan dalam kes ini, adalah juga keadilan yang dinafikan bagi tertuduh yang lain,” katanya.

Dalam konteks kes ini Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah menerima tanpa ragu-ragu tanggapan bahawa hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil adalah sebahagian daripada hak untuk hidup dan kebebasan peribadi yang dijamin oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini membawa kita kepada alasan utama yang diberikan oleh peguam untuk perayu yang memihak kepada penangguhan yang dinyatakan sebelum ini. Pendek kata, penangguhan sepatutnya diberikan kerana pasukan pembelaan baharu memerlukan masa yang mencukupi untuk membuat persediaan. Dalam erti kata lain, mereka tidak bersedia.

“Kami mulakan dengan mengatakan bahawa kami bersetuju bahawa dalam kes-kes yang sesuai, apabila peguam tidak bersedia untuk meneruskan atas sebab yang sah, mahkamah harus menimbangkan untuk menangguhkan sesuatu perkara. Kami tidak fikir ini yang berlaku di sini,” katanya sambil menambah bahawa peguam itu akan berusaha sedaya upaya untuk bersedia bagi perbicaraan.

Tengku Maimun berkata malah perayu telah mengetahui tarikh yang ditetapkan untuk perbicaraan, memilih untuk ‘melepaskan’ bekas peguam caranya, dan melantik Tetuan Zaid Ibrahim dan Hisyam sebagai peguam cara dan peguam bela.

“Ini adalah haknya (Najib) untuk berbuat demikian, tetapi dia tidak boleh, selepas membuat keputusan itu, berpatah balik dan mengatakan bahawa peguam baharunya tidak bersedia untuk meneruskan pendengaran rayuan.

“Peguam baharu juga, setelah menerima tugasan itu, tidak berhak untuk mengatakan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persediaan kerana mengetahui sepenuhnya bahawa tarikh telah ditetapkan lebih awal,” katanya sambil menambah, oleh itu permohonan penangguhan dan alasan menyokongnya adalah tidak kukuh dan tidak munasabah.

Najib menukar pasukan peguamnya hanya 21 hari sebelum rayuan terakhirnya, dengan melantik Hisyam sebagai peguam utama dan Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu bagi rayuannya.

Pada 26 Julai Najib memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co, yang diterajui Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakili beliau.

Najib ketika ini bebas dengan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Ketika ditemui wartawan selepas prosiding, Najib berkata beliau terkejut dan amat kecewa dengan penghakiman hari ini.

— BERNAMA