Rangkaian internet gentian optik minimum 100 Mbps di semua pejabat kerajaan negeri Sabah

KOTA KINABALU: Semua 749 pejabat Kerajaan Negeri Sabah akan dilengkapi dengan rangkaian internet gentian optik berkelajuan minimum 100 Mbps menjelang 2025, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata ketika ini Sabah Net sedang melaksanakan kerja menaik taraf rangkaian itu sejajar komitmen kerajaan dalam membangunkan perkhidmatan digital yang berkesan dan mapan.

Katanya, usaha itu bagi memastikan jentera kerajaan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu ‘Available At Anytime, Anywhere with Any mobile device’, termasuk pemasangan kemudahan wifi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber.

“Infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan terus dimantapkan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras penyediaan rangkaian gentian optik di seluruh negeri. Kerajaan juga akan merancakkan penggunaan solusi pengkomputeran awan selaras dengan MyDigital Economy Blueprint.

“Selaras dengan itu, Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf internet di semua 749 pejabat Kerajaan Negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga tahun 2025,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Awam XII (ICONPO 2023), di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Kewangan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited dalam memantapkan penyampaian perkhidmatannya dengan mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

Katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan dikembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.

JPKN, katanya, bertanggungjawab membangunkan sistem aplikasi untuk agensi kerajaan negeri dengan jangkaan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan End-To-End akan dibangunkan.

“Kerajaan negeri mengutamakan pendigitalan perkhidmatan awam ke arah pentadbiran digital bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan kecekapan pentadbiran berdasarkan keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Kerajaan Negeri juga menubuhkan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) untuk menyokong pembangunan strategi dalam meningkatkan kapasiti Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Jelasnya, dalam dua tahun kebelakangan ini, pandemik COVID-19 mempercepatkan gelombang perubahan yang menyaksikan perniagaan, kerajaan dan netizen terpaksa mengintegrasikan digital ke dalam urusan harian mereka.

“Kita sedar bahawa banyak peluang boleh dicapai jika kita menguasai ekonomi digital untuk mencapai matlamat jangka panjang yang ditetapkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“Sebab itu juga melalui KSTI, kita memperkenalkan Konsep Sandbox bagi memacu lagi pelaksanaan pendigitalan di negeri ini. Perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan dalam Sandbox ini termasuk peluang pelaburan untuk inovator dan usahawan, nasihat undang-undang dan latihan untuk usahawan,” katanya.

Hajiji berkata, Sistem Maklumat Geografi (GIS) juga akan dibangunkan untuk mengumpul maklumat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

“Kita perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran digital, penggunaan pelbagai aplikasi dan secara maya,” kata Hajiji.