GRS kekal bersama PH, BN pada PRN akan datang – Hajiji

KOTA KINABALU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan berpisah dengan rakan kerjasama dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri ketika ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) Sabah juga kekal.

“Saya ingin nyatakan pada PRN akan datang, kita terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan termasuk PH di Sabah, jadi kita tidak boleh berpisah dengan rakan kita, PH dan lain-lain termasuk Barisan Nasional (BN).

“Ini kerana kita mahu bangunkan Sabah dan rakyatnya, janganlah terlampau berpolitik sini sana dan kacau-bilau,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Yong Teck Lee, berhubung cadangan supaya GRS bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Teck Lee dilaporkan berkata, parti nasional dari Semenanjung khususnya BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu bertanding pada PRN itu nanti.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata cadangan itu hanya pandangan peribadi Teck Lee kerana belum ada apa-apa perbincangan mengenai PRN di antara parti komponen GRS setakat ini.

“Dalam GRS kita ada tujuh parti gabungan, tetapi perkara ini kita belum bincangkan kerana kita lama lagi untuk mengadakan PRN, dua tahun lagi.

“Sekarang kita fokus membangunkan negeri dan membantu rakyat menyelesaikan masalah air, elektrik dan lain-lain isu, jadi ini tujuan kita.

“Tetapi, saya tegaskan dan nyatakan bahawa Kerajaan Sabah sekarang diterajui oleh GRS dan PH, jadi kita kena melihat itu dan kita amat berterima kasih kepada PH,” katanya.

Hajiji berkata, beliau berpendapat perkara berkaitan PRN adalah isu yang perlu dibincangkan secara mendalam.