KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima in Hajiji Noor, menyifatkan andaian dan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian berhubung isu Ambalat disifatkan sebagai tidak berasas.
Beliau berkata ia kerana isu itu masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang kata putus dibuat selain sudah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.
“Soal Ambalat belumpun diputuskan, ia masih dalam perbincangan dan ini sudah dinyatakan oleh Perdana Menteri.
“Jadi andaian dan tuduhan wakil rakyat Tungku itu tidak berasas,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Assaffal yang mendakwa Blok Ambalat di Laut Sulawesi diserahkan kepada Indonesia berdasarkan apa yang disebutnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.
Assaffal ketika persidangan DUN Sabah pada 10 Ogos lalu, mendakwa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan Sabah dengan menyerahkan sempadan Ambalat kepada Indonesia.
Dakwanya, itu antara kesilapan dilakukan kerajaan negeri apabila tidak memperhalusi isu terbabit sehingga merugikan Sabah.
Hajiji berkata, kerajaan akan melihat tindakan yang wajar diambil jika apa yang dikatakan wakil rakyat Parti Warisan (WARISAN) itu tidak betul.
“Kita tidak boleh mengelirukan rakyat negeri ini kerana ia adalah perkara yang sensitif,” katanya.
Sebelum ini, Wisma Putra menyifatkan kenyataan Assaffal yang mendakwa Kerajaan Pusat menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia sebagai fitnah dan mengelirukan rakyat.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, dalam satu sidang media di Putrajaya menyifatkan kenyataan itu amat tidak bertanggungjawab dan mengancam kedaulatan negara.
Beliau berkata, Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia sebelum ini hanya membabitkan laut wilayah.
Katanya, ia bukan kawasan yang dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).