KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan belanjawan yang besar setiap tahun bagi membiayai pelbagai program ke arah memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan yang sempurna.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, ia termasuk program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil
Sekolah (BALKIS) untuk menambah baik fasiliti sekolah.
Katanya, sebanyak RM12 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk membantu 1,600 sekolah melalui BISBAH, manakala RM4 juta melalui BALKIS untuk membaiki kerosakan dan menyelenggara kemudahan sekolah yang membabitkan kos di bawah RM50,000.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet yang besar bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati pendidikan yang sempurna,” katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasa pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi penyediaan peruntukan bagi melaksanakan program berkaitan.
Bagi tahun ini, katanya sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk Program STEM FIESTA, manakala RM3 juta untuk pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau yang dijangka siap pada akhir tahun ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) juga merancang untuk melaksanakan projek berimpak tinggi pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu.
Pada masa sama, katanya dua lagi Pusat STI turut dirancang di Tawau dan Sandakan membabitkan peruntukan RM10.2 juta daripada PETRONAS.
“Kerajaan melalui KSTI juga memberikan dana sebanyak RM320,000 untuk mewujudkan 16 sudut sains di sekolah rendah, termasuk memberi sumbangan bagi membaik pulih 14 makmal sains sekolah menengah pada tahun ini dengan peruntukan RM280,000,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan beberapa program bantuan pendidikan pada tahun ini seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan BISBAH.
Bantuan terbabit, katanya memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastruktur pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.
“Ini kerana dengan pendidikan yang terbaik, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.
“Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan,” katanya.
Dalam konteks itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tugas, peranan dan tanggungjawab dalam memberikan pendidikan kepada rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta dedikasi.
Sementara itu, Hajiji mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 48 penerima Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS), sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada warga pendidik atas perkhidmatan yang cemerlang dan komitmen tinggi, sumbangan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik, khususnya di Sabah.
Katanya, komitmen dan usaha murni penerima anugerah dalam menyampaikan amanah dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan wajar dikagumi dan dijadikan teladan kepada semua.
“Harapan saya agar seluruh warga pendidik terus melakar kejayaan dan menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi, terus beristiqamah dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan seharian untuk melahirkan insan yang terdidik dan mampu bersaing di persada global.
“Ini penting diberi penekanan kerana dunia hari ini menuntut modal insan yang berjiwa kental dalam menyusuri dunia tanpa sempadan.
“Justeru, kita mahu melahirkan modal insan yang dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang cemerlang dan bersama-sama kerajaan untuk membina negara bangsa yang menjadi harapan kita semua,” katanya.