Rakyat Sabah teruskan pemakaian pelitup muka di dalam dan luar premis

KOTA KINABALU: Walaupun pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan bermula hari ini, kebanyakan rakyat negeri ini memilih untuk terus mengamalkannya.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Kota Kinabalu termasuk di kawasan rekreasi dan tamu mingguan Jalan Gaya mendapati orang ramai masih memakai pelitup muka meskipun berada di luar bangunan.

Seorang pengunjung, Romalus Wong, 45, berkata pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan selepas dua tahun diwajibkan pemakaiannya.

Beliau berkata meskipun sudah sedia maklum tentang kelonggaran itu, beliau memutuskan untuk memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Sabah masih lagi berdepan ancaman COVID-19.

“Saya tiada masalah juga kalau terus pakai sebab kita masih lagi berdepan dengan COVID-19 dan juga sudah terbiasa pakai pelitup muka,” katanya yang berasal dari Inanam.

Pandangan sama turut dikongsi Asiah Adli, 30, yang memilih untuk memakai pelitup muka ketika berada di kawasan rekreasi Taman Awam Teluk Likas dan menyifatkan ia sudah menjadi satu kebiasaan.

“Memakai pelitup muka sudah menjadi kebiasaan dan terasa kelainan apabila tidak memakainya walaupun sudah tidak diwajibkan untuk memakainya di kawasan terbuka,” katanya.

Sementara itu, kemasukan pengunjung ke pusat beli-belah lancar apabila tidak perlu lagi mengimbas kod QR Mysejahtera di setiap premis yang dikunjungi walaupun mesin pengimbas suhu dan kod imbas Mysejahtera masih terpamer di luar setiap premis.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 27 April lepas mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan berkuat kuasa 1 Mei.

– BERNAMA